Sejarah Penubuhan

Cadangan untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah baru di Seremban telah dikemukakan dalam Mesyuarat Pembukaan Sekolah Baru pada 18 Oktober 2006 di Balai Gadang, Jabatan Pelajaran Negeri, Negeri Sembilan. Sekolah-sekolah tersebut adalah SMK Senawang 3, SMK Seremban Jaya 2 dan SMK Warisan Puteri. Penubuhan sekolah baru ini telah dicadangkan untuk mengatasi pertambahan bilangan pelajar di sekolah sedia ada di Seremban.

SMK Senawang 3 telah dicadangkan penubuhannya untuk mengatasi pertambahan bilangan pelajar di sekolah menengah sekitar Senawang. Oleh kerana bangunan sekolah belum ada, SMK Senawang 3 telah dicadangkan menumpang di SMK Senawang. Pihak JPNNS telah melantik Encik Ahmad bin Yahya sebagai care taker di SMK Senawang 3. Bialngan kelas yang dapat dibuka adalah sebanyak 4 kelas Tingkatan 1 sahaja.

SMK Senawang 3 telah mengadakan mesyuarat pengurusannya yang pertama pada 18 Disember 2006 yang melibatkan 4 orang guru iaitu Encik Ahmad bin Yahya sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Saadiah binti Saad sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik A.Halim bin Saat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum dan Encik Raguraman sebagai kaunselor. Mesyuarat ini bertujuan membuat persediaan bagi menentukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum sesi persekolahan dibuka pada awal tahun 2007.

Mesyuarat guru pertama telah diadakan pada 22 Disember 2006. Dalam mesyuarat tersebut telah diputuskan bahawa tarikh pendaftaran pelajar sulung SMK Senawang 3 adalah pada 29 Disember 2006. Pada hari pendaftaran, pihak pengurusan SMk Senawang 3 telah menjemput Penolong Pegawai Pelajaran dari Pejabat Pelajaran Daerah Seremban, Puan Maznah binti Abu Bakar untuk memerikan ucapan kepada ibubapa dan penjaga yang hadir. Kemudian sesi pendaftaran dimulakan dengan mendaftarkan pelajar-pelajar di dalam empat buah kelas.

Pada 3 Januari 2007, bermulalah sesi persekolahan pertama SMK Senawang 3 yang diadakan pada sesi petang dengan menumpang di bangunan SMK Senawang. Pihak pengurusan SMK Senawang telah membenarkan pihak pengurusan SMK Senawang 3 menggunakan blok D yang mengandungi satu pejabat (ubahsuai kelas), satu bilik guru dan empat buah kelas Tingkatan 1.

Pada hari pertama persekolahan, bilangan pelajar yang hadir adalah seramai 107 orang. Bilangan guru pula seramai 8 orang manakala bilangan staf sokongan adalah 2 orang. Mereka terdiri daripada 4 orang guru yang bertugas di bahagian pengurusan dan 4 oang guru kademik iaitu Puan Hajah Norhayati binti Nasharudin, Puan Halimahton binti Mohd Yusoff, Puan Nur Saharah binti Salehan dan Encik Mohd Fisol bin Mansoor. Dua orang staf sokongan itu adalah Puan Maryati binti Omar dan Cik Aida binti Mohd Hanif.

Logo SMK Senawang 3
Pada 16 Januari 2007, Encik Jamaluddin bin Ahmad telah melaporkan diri di SMK Senawang 3 sebagai pengetua. Beliau telah cuba sedaya upaya untuk mendapatkan segala kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan oleh SMK Senawang 3 sambil dibantu oleh guru dan staf sekolah.

Logo sekolah telah mula dicipta bersama oleh Puan Saadiah binti Saad dan Encik Mohd Fisol bin Mansoor. Lagu sekolah pula telah dicipta oleh Encik Azlan dari Institut Perguruan Raja Melewar, IPRM manakala liriknya ditulis oleh Encik Mohd Fisol bin Mansoor. Lagu sekolah telah mula dinyanyikan buat pertama kalinya oleh pelajar SMK Senawang 3 semasa perhimpunan rasmi pada 12 Februari 2007.

Catatan:

  1. Tuan Haji Jamaluddin bin Ahmad kini bertugas sebagai Pengetua SMK Seri Sendayan, Seremban mulai 1 April 2011.
  2. Puan Saadiah binti Saad kini bertugas sebagai Pengetua SMK Taman Semarak, Nilai mulai 1 Jun 2011 setelah berpindah dari SMK Palong 2 sebagai pengetua.
  3. Encik Ahmad bin Yahya kini bertugas sebagai Pengetua SMk Serting Hilir Kompleks di Bandar Seri Jempol mulai 15 Mac 2011.